Kerinduan Kepada Tanah Suci

TH Travel merupakan satu-satunya agensi yang menyediakan ruangan khas untuk jemaah umrahnya di KLIA.

Kamil Maslih
15 Disember 2017 4:00 PM

Sebaik sahaja dimaklumkan yang penulis bakal menunaikan umrah di Mekah dan menziarahi Madinah menerusi TH Travel & Services Sdn. Bhd. (TH Travel), perasaan pertama yang melanda sanubari adalah rasa gemuruh yang sukar digambarkan.

Besar sekali rasa gemuruh itu yang datang daripada keinsafan terhadap kekurangan diri, tambahan pula dengan pembacaan dan pengalaman-pengalaman yang didengari selama ini. Hati kecil ini bertanya, layakkah untuk menjadi tetamu Allah SWT?

Rasa gemuruh itu melekat pada sepanjang perjalanan dari tanah air sehingga tiba ke kota suci Mekah. Dari satu sudut, persoalan juga timbul sama ada sudah cukup persediaan dari segi rohani dan jasmani untuk melaksanakan ibadah umrah yang dituntut ini.

Ternyata, segala kegusaran berlegar sebelum ini tenggelam apabila pertama kali melihat keagungan Kaabah di hadapan mata. Jiwa ini terpegun. Jika setiap kali dalam menunaikan solat selama ini, kita akan mencari arah kiblat, kali ini ia berada tersergam di hadapan mata!

BUKTI KEBESARAN ALLAH

Umat Islammemenuhi setiap ruang dalam Masjidilharam dengan Kaabah di depan mereka dan hanya ketika solat fardu sahaja, kita melihatnya terhenti orang melakukan tawaf. Jika tidak, sepanjang masa, pagi, siang, malam, mahupun hujan, tidak berhenti orang mengelilinginya.

Lebih mengagumkan adalah melihat betapa manusia daripada pelbagai bangsa datang berkumpul di Tanah Suci ini. Ada yang latarnya kaya, miskin, lelaki serta wanita, tua mahupun muda, semuanya tiba ke sini semata-mata mencari keredaan Ilahi.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran, ayat 96 yang bermaksud: "Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia,".

Menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah mengimbau penulis mengenai segala kebesaran dan keindahan Islam yang selama ini diperoleh melalui bacaan mahupun ceramah. Kesempatan untuk melihat dengan mata sendiri ini sebenarnya memberi makna yang amat besar dalam hidup.

Berbalik kepada matlamat asal kehadiran penulis ke Tanah Suci Mekah, mengerjakan umrah adalah ibadah wajib yang dituntut sekali seumur hidup. Ada yang tersalah anggap bahawa umrah itu sebagai pelancongan semata-mata dan kejahilan ini adalah apa yang amat dikhuatiri.

Dalam perkara ini, sebagai persediaan di tanah air, penulis sebagaimana jemaah lain mengikuti kursus umrah yang disediakan percuma oleh TH Travel pada setiap minggu di pelbagai lokasi. Di Mekah juga, TH Travel menyediakan ceramah penilaian ibadah umrah agar jemaah sentiasa peka mengenai kepentingan melaksanakannya dengan sempurna.

Dalam jadual rombongan umrah dan ziarah diikuti penulis, tempoh masa berada di Mekah adalah enam hari dan di Madinah selama lima hari. Perjalanan penerbangan antara Malaysia ke Arab Saudi adalah kira-kira sembilan jam. Perjalanan menaiki bas antara Mekah dengan Madinah pula adalah kira-kira enam jam.

TEMPAT BERMULANYA TAMADUN ISLAM

Sebagaimana keterujaan berada di Mekah, kesempatan menziarahi Madinah yang terletaknya makam Nabi Muhammad SAW juga merakamkan perasaan tidak pernah terduga. Ketenangan dalam Masjid Nabawi masih terimbau sehingga kini.

Masjid suci inilah menjadi tempat Rasulullah SAW berdakwah dan masjid suci inilah menjadi tempat keperibadian umat Islam dibentuk dan seterusnya tertegaknya tamadun serta kerajaan Islam.

Sepanjang berada di sini, penulis menyaksikan sendiri umat Islam tidak putus-putus mengerjakan pelbagai ibadah sama ada mengerjakan solat fardu, tawaf di Baitullah, solat sunat, bacaan al-Quran, perkongsian majlis ilmu mahupun bersedekah.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 186 bermaksud: "Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku memperkenan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa dalam kebenaran."

Tiada perlu rasa takut, gusar mahupun kebimbangan, sekiranya niat ikhlas kita ke Tanah Suci adalah semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT, memohon taubat daripada-Nya serta berserah kepada kekuasaan-Nya. Hanya kepada Allah Yang Maha Esa, kita berserah.

Benar kata-kata mereka yang pernah berada di Tanah Suci, rasa kerinduan untuk kembali pula yang kini tersemat dalam hati dan semoga diperkenan Allah SWT untuk dapat sampai lagi pada masa hadapan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/kerinduan-kepada-tanah-suci-1.573232#ixzz5Q6W1xbYm © Utusan Melayu (M) Bhd  
Artikel Oleh : Kamil Maslih 
Sumber : http://www.utusan.com.my/rencana/agama/kerinduan-kepada-tanah-suci-1.573232
Tarikh : 15 Disember 2017

Tawaran & Diskaun
Sila gunakan pelayar Google Chrome untuk paparan laman sesawang yang lebih baik.