Pastikan Ibadah Jemaah Umrah Teratur Dan Selesa

BERPELUANG melaksanakan ibadah umrah buat kali pertama pasti mendebarkan bagi kebanyakan orang termasuklah penulis. Persoalan yang kerap terlintas ialah adakah sukar untuk melaksanakan ibadah itu? Apakah kesulitan yang bakal menanti dan mampukah melaksanakannya dengan sempurna?

Debaran terus bertamu apabila mendengar kisah-kisah kesulitan yang pernah dialami oleh sesetengah jemaah Malaysia yang mengerjakan ibadah itu.

Cerita tentang jemaah gagal menjejakkan kaki di Tanah Suci disebabkan pengurusan umrah tidak menunaikan janji turut menimbulkan kebimbangan.

Namun, persoalan dan kebimbangan itu meleset sejurus penulis selesai mengerjakan umrah menggunakan perkhidmatan TH Travel & Services (TH Travel) baru-baru ini.

Selesa

Penulis berlepas ke Tanah Suci menaiki Penerbangan Malaysia (MAS) MH8006 pada 9 November lalu sebelum kembali ke tanah air pada 20 November 2017.

Hampir 12 hari di kota Mekah dan Madinah di bawah kendalian TH Travel kami berasa amat selesa kerana setiap urusan di sana disusun atur sebaik mungkin oleh agensi itu.

Kecekapan pengurusan umrah TH Travel terbukti seawal pukul 8 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Lebih 400 jemaah umrah yang berkumpul di Kaunter TH Travel untuk berlepas ke Tanah Suci terlebih dahulu diberi taklimat khas oleh petugas agensi itu.

Jemaah umrah diberi taklimat terperinci mengenai perjalanan yang bakal ditempuhi termasuk tentang urusan solat dan doa-doa yang wajar dibacakan. Ia bertujuan memastikan para jemaah siap siaga dari sudut mental dan fizikal untuk menempuh perjalanan yang bakal mengambil masa hampir 15 jam.

Penerbangan dari KLIA ke Madinah mengambil masa kira-kira lapan jam, manakala perjalanan dari Madinah ke Mekah dengan bas kira-kira lima jam. Pergerakan jemaah untuk menaiki pesawat yang ditempah khas di KLIA dibantu oleh petugas TH Travel bagi mengelakkan sebarang kesulitan. Urusan bagasi para jemaah umrah di KLIA malah diuruskan oleh petugas TH Travel supaya tidak berlaku kehilangan dan keciciran. Jemaah umrah TH Travel bergerak dalam kumpulan berdasarkan pakej iaitu Pakej Topaz, Nilam, Ruby, Firdaus, Aqiq dan Fairuz supaya lebih lancar serta teratur.

Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad Abdulaziz, Madinah jemaah umrah TH Travel disambut sekumpulan petugas agensi itu di Tanah Suci. Petugas TH Travel terbabit bersiap sedia dengan beberapa buah bas untuk membawa jemaah umrah ke kota Mekah. Setiap kumpulan jemaah dibekalkan seorang mutawif berpengalaman untuk membimbing mereka mengerjakan umrah.

Jemaah umrah TH Travel sekali lagi diberi penerangan tentang hukum dan larangan sewaktu mengerjakan umrah oleh mutawif untuk memastikan mereka tidak terlupa.

Mutawif

Setiap jemaah diberi kunci bilik hotel sewaktu bas tiba di hotel masing-masing dan urusan mengangkut bagasi ke dalam hotel turut dilakukan petugas TH Travel. Jemaah umrah TH Travel juga tidak perlu runsing tentang soal makanan kerana sarapan, makan tengah hari dan malam disediakan di hotel masing-masing. Pada 10 November 2017, jemaah umrah TH Travel mula mengerjakan tawaf dan saie yang diketuai oleh mutawif.

Secara umum, jemaah tidak perlu berasa terlalu bimbang tersilap perbuatan atau terlupa bacaan kerana setiap pergerakan dan bacaan mereka dibantu oleh mutawif. Setiap mutawif membawa jemaah umrah melakukan tawaf dan saie sebanyak tiga kali sepanjang enam hari mereka berada di kota Mekah.

Aktiviti ziarah pula diselitkan dengan sesi penerangan yang menarik untuk memberi kefahaman yang mampu mengundang keinsafan para jemaah. Antara lokasi yang dilawati ialah Jabal Thur, Jabal Nur, Padang Arafah, Jabal Rahmah, Muzdalifah, Mina, Masjid Jaranah dan Masjid Hudaibiyah.

Bermula 15 November 2017, jemaah umrah TH Travel bergerak kembali ke Madinah dengan menaiki bas untuk melaksanakan aktiviti ziarah yang seterusnya.

Ziarah

Seperti di kota Mekah, urusan bagasi dan pergerakan mereka sepanjang berada di Madinah turut diuruskan oleh petugas TH Travel. Mutawif membawa jemaah umrah beribadah di Raudah sebelum menziarahi makam Rasulullah di Masjid Nabawi pada hari kedua mereka di Madinah. Jemaah umrah TH Travel turut dibawa menziarahi Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud, medan peperangan khandaq serta Pasar Kurma.

Menjelang tarikh 19 November 2017, jemaah umrah TH Travel berangkat pulang ke Malaysia dengan menaiki pesawat MAS MH8213. Urusan di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad Abdulaziz di Madinah sekali lagi dibantu oleh petugas TH Travel untuk mengelakkan kesulitan.

Setibanya di KLIA pada 20 November 2017, jemaah umrah diberi sebotol air zamzam oleh petugas TH Travel yang menyambut kepulangan mereka. Kepuasan mengerjakan umrah hampir 12 hari di kedua-dua Kota Suci terpancar pada wajah sebilangan besar jemaah umrah sejurus mereka tiba di tanah air.

Keselesaan melaksanakan umrah menggunakan perkhidmatan TH diakui oleh beberapa jemaah umrah kepada Kosmo! Shamsuri Musa, 50, yang pertama kali mengerjakan umrah sangat berpuas hati menggunakan perkhidmatan TH Travel.

Dia dimaklumkan oleh adik-beradiknya yang pernah mengerjakan umrah bahawa perkhidmatan TH Travel adalah yang terbaik.

“Terbukti apa yang mereka katakan benar. Saya berasa selesa semasa melaksanakan umrah ini. Tidak banyak kesulitan yang dialami,” katanya. Mohd. Zaki Muhamad Yusof, 33, berkata, dia juga baru kali pertama melakukan umrah, tetapi padanya perkhidmatan TH Travel sangat memuaskan.

Menurutnya, dia pernah membayangkan kemungkinan berdepan dengan kesulitan seperti kesukaran mencari tempat penginapan atau tertinggal barangan peribadi. Bagaimanapun, katanya, TH Travel menyediakan pengangkutan dan tempat tinggal yang sangat baik, malah layanan yang diterima sangat baik.

Tumpuan


“Keadaan ini membolehkan saya dan ramai jemaah umrah lain memberi tumpuan penuh kepada ibadah kami,” katanya. Bagi Mohamad Azam Mohamad Isa, 43, dia pernah melaksanakan umrah menggunakan perkhidmatan agensi lain dan terdapat perbezaan yang ketara.

“Menggunakan perkhidmatan umrah TH Travel saya tidak berasa kelam-kabut. Segalanya teratur. Saya tidak perlu fikir tentang urusan pasport, makanan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Latifah Baharom, 62, turut mengaku dia selesa menggunakan perkhidmatan umrah TH Travel dan berharap dapat kembali ke Tanah Suci pada masa depan menggunakan agensi yang sama.


Artikel Oleh : Zulkifli Manzor

Sumber : http://www.kosmo.com.my/k2/rencana-utama/pastikan-ibadah-jemaah-umrah-teratur-dan-selesa-1.572310

Tarikh : 14 Disember 2017

Tawaran & Diskaun
Sila gunakan pelayar Google Chrome untuk paparan laman sesawang yang lebih baik.